27 Julai, 2009

SENTIASA BERSANGKA BAIK

Masalah, stress, tekanan, pergolakan jiwa semuanya datang dari minda kita. Lebih tepat lagi, ia datang dari minda separa sedar kita kerana semua emosi adalah dari minda separa sedar. Minda kita mempunyai kapasiti untuk menarik masalah, stress, tekanan dan pergolakan datang kepada kita. Sebabnya? Minda kita terbentuk menjadi negatif. Maka, ia menarik situasi-situasi negatif untuk dimunculkan dalam hidup kita. Kita berada dalam suasana negatif tanpa kita sedari kerana perbuatan-perbuatan negatif dah jadi satu kebiasaan pada kita. Sesuatu perlu dilakukan untuk mengubahnya secara total, mengubahnya dengan penuh berkekalan, bukan sekadar sebulan dua sahaja. Jika minda kita ada kapasiti untuk menarik masalah, stress, tekanan dan pergolakan, minda juga boleh menarik kegembiraan, keceriaaan, kebahagiaan dan kedamaian untuk muncul dalam hidup kita. Untuk itu, minda perlu dibentuk, diransang dan didorong menjadi positif. Nak menjadi seorang yang cemerlang, anak cemerlang, ibu bapa cemerlang, terlebih dahulu kena ubah emosi menjadi cemerlang, menjadi warna positif kerana positif adalah sikap orang cemerlang. Silap ibu bapa adalah, mahu anak mereka cemerlang tapi tak menunjukkan sikap cemerlang di depan anak-anak. Tak kira kita ni ibu bapa atau anak, sesuatu perlu dilakukan untuk kita merubah sikap. Positifkan diri supaya kita boleh mencapai kecemerlangan lalu membuat kita dikelilingi kegembiraan, kebahagiaan. Kesannya, dari situ kita boleh berumpa dengan pelbagai keajaiban. Kita akan berjumpa situasi-situasi menggembirakan, terjadi tanpa di sangka-sangka. Jangan ambil remeh hal emosi, hal minda. Walaupun kedua-duanya hanya perkara kecil, tapi memberi kesan yang besar dalam hidup Anda. Belajar melatih diri untuk sentiasa bersangka baik, jujur dan mudah memberi maaf. Bersangka baik sebaik yang mungkin, sekerap yang mungkin, selama yang mungkin.
Hidupmu akan sentiasa bahagia di samping yang tercinta.

07 Julai, 2009

BUAT TATAPAN PARA HUFFAZ AL-QURAN

SEBAGAI SEORANG HAFIZZ AL-QURAN :-
1. Betulkanlah niat. Andai sudah betul, jagalah niat itu. Jaga dan terus jaga. Hati manusia boleh berbolak balik dalam dua detik sahaja.
2. Jagalah adab. Adab dengan semua. Al-Quran terutamanya. Junjung dan tatang secara luaran dan dalaman. Adab dengan guru @ murabbi. Adab dengan Ibu dan ayah sendiri. Ambil berat persoalan adab. Jaga dan terus jaga.
3. Perhatikan masa dan usaha. Semua orang mempunyai 24 jam tapi tak semua orang 'memiliki' 24 jam. Tingkatkan usaha. Istiqamah dengan usaha anda sendiri.
4. Pelajari kaedah. Banyak tempat untuk dirujuk dan bertanya. Tanya pada yang alim , pada yang sudah berpengalaman. Terima dan praktikkan dengan penuh iltizam.
5 . Jangan hangat2 tahi ayam. Jangan sekerat jalan. Kembali kepada persoalan niat. Tekad seteguh2nya.
6. Jauhi maksiat zahir dan batin . Maksiat kecil sehinggalah maksiat besar. Duduk berseorangan pun boleh berlaku maksiat, apatah lagi ditengah kekalutan orang dan budaya. Perhatikan makna taqwa yang diumpamakan oleh seorang sahabat r.a : " Laksana kamu berjalan di atas jalanan yang penuh dengan onak dan duri..."
7. Pegang Al-Quran sentiasa. Kucup dan junjung. Bawa dalam keadaan suci dan berwudhu'. Sayangi Al-Quran secara jujur tanpa sedikitpun unsur hipokrit. Sayangi yang zahir ( mushaf ) dan sayangi yang batin ( hafazan dan amalan ).
8. Syaitan akan 'mendampingi' anda sentiasa. Nafsu akan mengikut anda ke mana2. Suatu ketika anda mungkin akan di'peras ugut' oleh keduanya. Iman seorang penghafaz Al-Quran juga adakala menaik dan merudum. Diibaratkan ; kalau baik , lebih baik dari Malaikat. Kalau jahat, lebih jahat dari Iblis. Itulah huffaz.
9. Maka selalulah bermohon kepada Allah. Minta dengan Allah. Jangan tinggal solat hajat. Permintaan supaya dipermudahkan hafazan dan di'benar'kan khatam hafazan Al-Quran jangan ditinggalkan. Itu antara doa wajib bagi anda sampai anda mati.
10. Jangan tinggal hubungan hati dengan Allah walaupun sedetik. Sedetik itu sangat bermanfaat bagi Syaitan untuk mengambil ruang dan kesempatan. Seorang murid pernah dihantar oleh gurunya untuk berdakwah di suatu tempat ( kisah sahabat r.a ) :
Guru bertanya : bagaimana kiranya dalam perjuanganmu kamu akan diganggu oleh nafsu dan syaitan yang akan menerkam bila2 masa sahaja? Murid menjawab : aku akan menghalaunya . aku akan sentiasa menghalaunya. Murid memahami bahawa syaitan dan nafsu adalah ujian wajib. Guru bertanya lagi : bagaimana kalau keduanya terus mengganggumu? Murid menjawab : aku akan terus melawan dan menghalaunya. Guru bertanya lagi : justeru sampai bila? Murid gagal memahami , lalu dinasihatkan oleh gurunya : Jika kamu diganggu oleh binatang buas yang akan menerkammu, beritahulah kepada tuan kepada binatang tersebut supaya tuannya boleh menghalau binatang tersebut dari terus mengganggumu. Tuan kepada kedua musuh kita hanyalah Allah. Jangan sesekali tinggalkan doa dan pergantungan kepadaNya.
Apa yang perlu diketahui dan diingati oleh seorang huffaz? 1. Al-Quran yang dihafaz adalah amanah. Anda sendiri yang 'mencari pasal' untuk mengambil amanah tersebut. Bagaimanapun, anda 'mencari pasal' yang baik. Jadi janganlah suatu masa nanti anda bukan sahaja melupakan hafazan anda , bahkan tidak mahu mengaku anda seorang huffaz!
2. Bila anda faham bahawa anda yang 'mencari pasal' , jadi anda kena SMI ( Sendiri Mau Ingat ) tentang hafazan anda. Ana sangat suka kepada mereka2 yang bertanya dan nampak bersungguh2 bila diutarakan topik hafazan Al-Quran. Tapi ana sungguh2 menyampah dan kecewa bila sesetengah penghafaz Al-Quran lebih bersemangat bila menyentuh topik siasah, jamaah, program dan perkara2 lain. Bila sentuh bab Quran, diam dan ubah topik. Tidak berminat. Bila malas iadah, beri alasan 'tak masyi'. Macam mana nak masyi kalau malas iadah? Sama juga dengan macam mana nak kenyang kalau tak telan nasi. Mengejar perkara lain tidak salah apatah lagi soal yang lebih utama, tetapi hafazan Al-Quran telah anda kendong terlebih dahulu. Jadi berilah perhatian sewajarnya.
3. Dalam proses anda hafaz Al-Quran, anda akan diuji.
4. Anda akan semakin diuji..
5. Anda akan terus diuji..
6. Dan anda akan semakin kuat diuji..
7. Ujian yang datang kepada anda ada tahapnya. Syaitan yang berdiri di hadapan anda diibaratkan berpangkat Jeneral , bukan prebet. Semakin anda lawan , semakin anda rajin , semakin anda masyi, semakin anda istiqamah, Maka semakin tinggilah bintang di bahu Syaitan yang dihantar kepada anda.
8. Anda akan rebah. Ada ketikanya anda akan diuji teruk . Samada kematian , masalah hati , wanita, duit ataupun pangkat dan kedudukan. Anda mungkin tumpas dengan salah satu , yang boleh memberi kesan besar kepada tahap motivasi dan tekad anda untuk meneruskan hafazan. Seorang sahabat ana di madrasah dahulu, kecundang waktu dah berada di juzuk 23. Alangkah sayang..
9. Kalau anda jatuh, anda rebah , jangan menangis. Jangan 'laknat' diri anda kerana anda rebah. Adakala memang anda perlu rebah supaya anda tahu apakah itu 'sakit'. Jangan sedih andai tika anda 'rebah' tiada yang membantu, apatah lagi 'merawat'. Anda kan punya Al-Quran. Peluklah Al-Quran . Hayatilah dengan lantunan suara anda sendiri. Bagi ana, itulah teman yang paling setia..
10. Anda bukan penghafaz Al-Quran sejati kalau anda tidak pernah menangis kerana Al-Quran ( hafazan ) anda.
11. Anda perlu ingat formula ini sampai bila2. Ingat dan faham betul2. Dalam menghafaz Al-Quran anda cuma ada dua keadaan yang diberikan oleh Allah. Diulangi : diberikan oleh Allah. Pertama anda berada dalam keadaan senang hafaz dan mudah ingat. Kedua , anda berada dalam keadaan sebaliknya iaitu susah hafaz dan sukar ingat.
Apa yang perlu anda faham dan tanam dalam hati? Ini penting. Fahami bahawa sebenarnya kedua2nya adalah UJIAN. Pesan seorang Guru yang tak pernah saya lupa adalah tentang ini. Orang yang senang hafaz mudah ingat , Allah nak tengok adakah dia akan bersyukur dan melazimi Al Quran . Manakala yang susah ingat Allah nak tengok samada dia benar2 ikhlas, akan terus berusaha dan istiqamah atau tidak. Atau mungkin berputus asa. Kalau yang mudah ingat pula, mungkin akan banyak lepak, banyak borak.
12. Justeru, JANGAN menangis dan menyalahkan diri anda andainya anda tidak ingat Al-Quran. TETAPI sila menangis dan salahkan diri anda kiranya anda malas , tiada istiqamah dan tidak konsisten dengan hafazan anda . Pesan Allah ta'ala dalam surah Al-Qiyamah : " Sesungguhnya Kami lah yang menghimpunkan Al-Quran itu dalam dada2 manusia.."
13. Terakhir, sentiasa ingat bahawa Al-Quran akan memberi syafaat kepada kita dan memberi kemuliaan kepada kedua ibubapa kita pada hari Qiamah. TETAPI Al-Quran juga boleh menjadi hujjah ke atas kita pada masa tersebut. Inilah peringatan paling 'keras' buat kita semua para huffaz Al-Quran ( terutama ana ).
" Allahummaj'alhu Hujjatal lana Wala Taj'alhu Hujjatan 'Alaina Ya Rabbal 'Alamin.."

03 Julai, 2009

ERTI SEBUAH PERSAHABATAN

Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keikhlasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri. Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya. Dia mendengar luahan perasaan kita, segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan. Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga Kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita. Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya, rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita. Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah? Dapatkah kita yakinkan dia yang kita boleh dipercayai, kita boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah, agar tidak rebah.? Bolehkah kita menjadi bahu untuk dia bersandar harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan sahabat kerana dia juga seorang manusia. Dia juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan seorang sahabat sebagai kekuatan. Jadilah kita sahabatnya itu. Kita selalu melihat dia ketawa, tetapi mungkin sebenarnya dia tidak setabah yang kita sangkakan. Di sebalik senyumannya mungkin banyak cerita sedih yang ingin diluahkan. Di sebalik kesenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak tahu. Tetapi jika kita cuba jadi sahabat sepertinya, mungkin kita akan tahu. RENUNGILAH… “HARGAILAH SEBUAH PERSAHABATAN KERANA DISEBALIKNYA TERSIMPUL SEGALA-GALANYA.”